Monday, August 16, 2010

Bandar Baru Jasin Bestari

Monday, August 16, 2010
Bandar Baru Jasin Bestari merupakan sebuah rancangan pembangunan sejumlah tanah di Mukim Bemban untuk di majukan menjadi sebuah bandar berpusat baru bagi daerah Jasin, rancangan pembangunan tanah di mukim ini diterajui oleh Perbadanan Tanah Adat Melaka (PERTAM). Bandar Jasin Bestari ini memuatkan kawasan perumahan, pusat perniagaan, Kompleks Membeli Belah (Mydin), Universiti (berkemungkinan), Sekolah, kawasan rekreasi dan juga stesen minyak. Berikut merupakan teks yang di ambil daripada Laman Sesawang KPDNKK:
MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Mydin Mohamed Holdings Bhd memperuntukkan kira-kira RM67 juta untuk membina pasaraya besar ke-empat di negeri ini, di Bandar Jasin Bistari, Jasin dekat sini. Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk pembinaan bangunan manakala baki RM7 juta lagi bagi pembelian tapak seluas 6.0 hektar. "Pembinaannya akan bermula Mac depan dan dijangka memulakan perniagaan pada Mei 2011," katanya kepada pemberita selepas majlis penandatanganan perjanjian jual beli tanah tapak pasaraya besar itu antara Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) dan Mydin Mohamed Holdings Bhd di sini Rabu. Pada majlis itu, yang disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ameer Ali menandatangani perjanjian bagi pihak Mydin Mohamed Holdings Bhd manakala Pertam diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk As'ari Ibrahim. Setakat ini di Melaka, syarikat itu mempunyai pasaraya besar di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh dan dua lagi di Melaka Sentral di sini. Pasaraya besar di Bandar Jasin Bistari itu adalah cawangan pasaraya Mydin yang ke-48 di negara ini. Ameer Ali berkata pasaraya besar itu akan menyediakan 280 pekerjaan kepada penduduk tempatan di samping peluang perniagaan untuk usahawan tempatan. Pasaraya besar itu juga akan turut memberi kemudahan kepada penduduk di daerah Muar, Johor terutama mereka yang tinggal di Tangkak, katanya. Beliau berkata pembinaan pasaraya besar di daerah Jasin itu berikutan sambutan pengguna yang memberangsangkan terhadap pasaraya besarnya di MITC dengan jualan RM18 juta sebulan. Sementara itu, Mohd Ali berkata pelaburan oleh Mydin Mohamed Holdings Bhd itu, membuktikan keyakinan pelabur terhadap kuasa beli yang besar penduduk Melaka. Beliau berharap usahawan bumiputera akan diberi peluang untuk berniaga di pasaraya besar yang diwujudkan di negeri ini. Katanya kerajaan Melaka sedang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelabur untuk menjadikan negeri ini sebagai "syurga" membeli belah yang mampu menarik ramai pelancong. -- BERNAMA 
 
Ini pula merupakan serba sedikit tentang rancangan pembangunan Daerah Jasin dipetik daripada laman sesawang Utusan Malaysia online.
 

MPJ bangunkan dua bandar di Jasin

MELAKA 22 Sept. - Semua kawasan pekan dan dua bandar di daerah Jasin di sini akan dibangunkan dengan tarikan tersendiri, sekali gus menjadi pusat penempatan penduduk yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin berkata, ke arah usaha itu, MPJ kini giat membangunkan dua bandar di daerah ini iaitu Jasin sebagai pusat pentadbiran dan pelajaran manakala Merlimau sebagai pusat perindustrian.
Bagi sembilan pekan lain, katanya, pihaknya telah mengenal pasti produk yang sesuai untuk dibangunkan dengan produk yang berasaskan agropelancongan, ekopelancongan dan sejarah warisan.
"Pekan Bemban dan Selandar misalnya, akan dijadikan sebagai pusat ilmu manakala Pekan Sungai Rambai pula akan menjadi pusat sistem barter.
"Pekan Umbai yang terkenal dengan medan ikan bakar akan dibangunkan menjadi pusat makanan laut termasuk di Pekan Kesang Pajak yang menjadi pusat agropelancongan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pekan Batang Melaka akan dijadikan sebagai pusat transit rel yang akan menghubungkan Melaka dengan negeri-negeri lain manakala Pekan Asahan akan menjadi pusat rekreasi dan pelancongan, katanya.
Menurutnya, semua pembangunan yang sedang dan bakal dilakukan adalah menepati keperluan masyarakat secara keseluruhannya mengikut Draf Rancangan Tempatan (RTD) MPJ.
"Sebagai daerah yang mempunyai banyak kawasan tadahan air, pembangunan di Jasin perlu dirancang dan dilaksanakan dengan berhati-hati dan bukannya didirikan dengan bangunan atau kompleks-kompleks canggih seperti di dua daerah lain di negeri ini.
"Maju bagi daerah Jasin bermaksud mempunyai latar belakang alam semula jadi, jalan raya yang sempurna, kampung-kampung yang bersih dan pusat-pusat rekreasi yang indah dan permai kerana itulah tarikan pelancong di daerah ini," katanya.
Tambah beliau lagi, dari segi pembangunan industri desa seperti industri kecil dan sederhana (IKS), Pekan Nyalas telah dipilih untuk dijadikan pusat penempatan industri tersebut.
"Manakala di Pekan Simpang Bekoh, ia akan dibangunkan sebagai pusat inap desa," katanya.
Semua pembangunan tersebut, menurut Murad adalah bertepatan dengan wawasan kerajaan negeri yang mahu melihat Jasin sebagai daerah lestari dan Bandar Jasin sebagai bandar bestari dan sejahtera dalam tempoh 10 tahun lagi.





 

 
Development@Melaka ◄Design by Pocket, BlogBulk Blogger Templates